hostgator coupon

Sejarah SMAAI

Created on Friday, 16 November 2012

Sejarah Ringkas Penubuhan Pondok Padang Lalang

 

Madrasah Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah telah ditubuhkan pada tahun 1315 Hijrah bersamaan 1896 Masihi, diasaskan oleh Tuan Guru Hj.  Muhammad berasal dari Pattani, Thailand.

Sejak penubuhannya, Madrasah ini mengamalkan sistem pondok sepenuhnya tetapi sekarang ia telah digabungkan dengan sistem persekolahan moden dengan penekanan terhadap Bahasa Arab.

 

Semenjak penubuhannya, Madrasah Ahmadiah telah berjaya melahirkan ramai ahli-ahli agama yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu-ilmu Islam. Kedekatan ini menjadikan madrasah Ahmadiah mula disegani masyarakat setempat sehingga jumlah pondok untuk penginapan para pelajar terpaksa ditambah.

Terletak satu setengah kilometer dari Bandar Bukit Mertajam. Keluasan madrasah ini hanyalah satu ekar setengah sahaja.Tanah ini di wakaf oleh seorang hamba Allah dari Alma yang mengharapkan keredhaan Allah. Asal tanah adalah berpaya yang menjadikan kawasan ini sering kali banjir tatkala hujan dengan lebat.

Walaupun begitu ia tidak menghalang Mudir yang pertama iaitu Tuan Syeikh Imam Ahmad Bin Abdul Rahman membangunnya untuk menjadi salah sebuah pusat pengajian yang awal di kawasan Bukit Mertajam. Madrasah yang didirikan sejak zaman Tuan Imam masih ada walaupun sudah tidak digunakan lagi.

Pada mulanya dikatakan hanya tujuh orang sahaja yang datang belajar di Madrasah ini yang terdiri daripada anak-anak tempatan. Berkat dari permulaan itu, bilangan pelajar mula bertambah dari tujuh orang sehinggalah ramai. Ramai dikalangan  pelajarnya datang dari Negeri Perak terutama dari  Daerah Kerian, Taiping dan sebagainya.

Pelajaran yang diajar adalah pelajaran yang menjadi asas kepada setiap pelajar yang ingin mendalami ilmu agama seperti Tauhid, Fiqh, Tasauf, Nahu, Sorof dan lain-lain lagi.

Walaupun suasana pada zaman itu tidaklah sempurna berbanding pada zaman sekarang, namun Tuan Imam mampu mewujudkan sebuah pusat insitusi pendidikan Islam yang berupaya melahirkan cendiakawan yang cemerlang dalam bidang agama seperti Tuan Syeikh Idris Marbawi, Tuan Syeikh Salleh Masri (Pengasas Madrasah Al-Masriah) Tuan Syed Shabudin (Mufti Pertama Selangor, Tuan Guru Haji Jaafar Al-Hafiz. Pengasas Madrasah Al-Ahmadiah kembali  ke Rahmatullah   pada tahun 1936.

Pada awal tahun 2000 pengajian pondok Ahmadiah telah bertukar wajah ke Sekolah Agama Rakyat (SAR). Walaupun pada dasarnya pengajian pondok sudah bertukar wajah ke SAR tetapi sistem pengajian pondok masih berkekalan. Pengajian pondok masih beroperasi seperti pengajian Ijtimak 3 bulan sekali dan pengajian mingguan hari Selasa, Rabu dan Ahad.

Pada awal tahun 2007 dengan rasminya Sekolah Agama Rakyat telah diserapkan di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dinamakan Sekolah Menengah Agama di bawah penyeliaan rasmi Bahagian Pendidikan Islam (BPI).

SMA Al-Ahmadiah Ijtimiah dikelolakan oleh Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) iaitu terdiri daripada mereka yang mula-mula mewujudkan pengajian berasaskan sekolah.

Tanah sekolah SMAAI telah diwakafkan di bawah seliaan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Bangunan madrasah pula berasal dari sumbangan orang ramai. Sebahagian besar bangunan SMAAI ini ialah hak milik Kerajaan Malaysia dan bangunan Asrama Pelajar Lelaki disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Asrama Pelajar Perempuan disumbangkan oleh derma orang ramai.

Urusan pendaftaran dan pertanyaan untuk kemasukan sesi 2013 sila hubungi pejabat 045374842
Tab content 2
Wednesday the 27th.